Perang Semantan Abdul_Rahman_bin_Tuanku_Imam_Nuh

Rencana utama: Perang Semantan

Punca utama Perang Semantan ialah ketidakpuasan hati Orang-orang Besar Pahang terhadap campur tangan British ke atas kawasan mereka. Ketegangan itu bermula pada bulan Disember 1890 ketika E.A Wise hendak mendirikan sebuah balai polis di Lubuk Terua yang terletak di kawasan Dato' Bahaman, tanpa sebarang perundingan dengannya. Apabila Hugh Clifford, Pemangku Residen British Pahang, mengetahui hal tersebut, beliau menasihatkan Sultan dan baginda kemudian menitahkan Dato' Bahaman supaya pergi ke Pekan agar perkara itu dapat disiasat. Oleh sebab Dato' Bahaman enggan ke Pekan, Sultan mengeluarkan surat perintah yang melucutkan pangkat dan tarafnya sebagai Orang Kaya Semantan.

Tindakan itu menyakitkan hati Dato' Bahaman. Keadaan ini menyebabkan beliau dan pengikut-pengikutnya menyerang hendap C.E.M Deaborough di Sungai Semantan pada 15 Disember 1891 ketika beliau menyangka Desborough datang untuk menangkapnya. Dalam serangan tiba-tiba itu, pihak Desborough telah kalah dan mereka melarikan diri ke bandar Temerloh.

Setelah mengetahui peristiwa di Semantan itu, pegawai-pegawai British Pahang menyediakan tentera untuk melawan pembangkang-pembangkang Melayu. Ekoran dari itu pada 21 Disember 1891, satu pasukan yang diketuai oleh Clifford dan Tengku Mahmud pergi ke Kampung Kelubi yang merupakan kubu kedua pertahanan Dato' Bahaman. Di sini berlaku sekali lagi pertempuran antara pihak British dengan Dato' Bahaman tetapi pihak British sekali lagi ditewaskan.